Belle: A Scholar's Life














Pertama-tama sekali aku mahukan kamu semua tahu bahawa aku melihat semua elemen dalam hidup ini berselitkan falsafah di sampingnya. Begitu juga dengan kehidupan sebagai penuntut ilmu, lebih spesifiknya pelajar yang ditaja oleh badan-badan tertentu. Diingatkan, aku sendiri bukanlah pelajar tajaan yang meletup-letup keputusan peperiksaannya, cuma ini sekadar artikel masa senggang dan sedikit sebanyak aku yakin akan menggambarkan kehidupan & pengalaman aku sendiri sebagai seorang scholar.


"Untunglah, dapat scholarship! Mesti budak pandai." Ini ayat cliche yang keluar masuk telinga seorang scholar. Dengar macam ayat yang tak begitu serius makna di sebaliknya, tetapi bagi aku, sebaliknya. Aku akan meleraikan satu-persatu pandangan aku terhadap kehidupan pelajar tajaan ini dengan sedikit falsafah binaan aku sendiri. Terpilihnya tiap-tiap satu dari kita untuk menjadi pelajar tajaan bukannya bererti kita boleh tidur dengan buku berbantalkan duit empat angka. Tetapi ini ialah amanah, yang harus kita pikul setiap hari - ke kuliah, bukan sekadar memikul buku bersendiri. Amanah untuk membelanjakan wang yang telah diperuntukkan untuk setiap satu dari kita - pada aku, tak semua mampu meletakkannya ke atas dua belah bahu dengan stabil. Rata-rata orang luar melihat kelebihan memegang biasiswa ialah salah satu bentuk bantuan kewangan daripada pihak lain. Itu sekadar definisi di permukaannya sahaja. Namun aku melihat itu sebagai amanah untuk kita tidak mensia-siakan wang berkepuk dari mereka - seharusnya kita tujukan apa yang diberi orang kepada apa yang diharapkan orang. Dengan erti kata lain, segala perbelanjaan belajar (diulangi, perbelanjaan belajar) ialah satu-satunya perkara yang boleh dibelanjakan menggunakan wang amanah itu tadi. Dan tidak semua dari kita-kita ini benar-benar faham dan akur dengan perkara ini. Penganugerahan biasiswa pelajaran juga, simboliknya sebagai satu penghargaan - dari pihak luar kepada kita. Kerana ilmu itu satu-satunya kunci kemajuan sesebuah komuniti - biasiswa juga dianggap pendorong untuk kita terus belajar. Bukan semua mampu lakukan apa yang kita usahakan dalam pelajaran, dan bukan semua dari kita juga mampu lakukan apa yang mereka-mereka yang lebih pandai itu telah usahakan. Kerana itu, wujud perbezaan di mana sebahagian kita menerima biasiswa pelajaran ke luar negara, sebahagian lagi di dalam negara sahaja. Namun pada aku, kedua-duanya boleh dibanggakan - masih digelar pemegang biasiswa. Itu pun pernah aku saksikan ada segelintir yang memberontak tidak setuju dengan biasiswa yang diberi. Aku tak tahu di mana hilang rasa bersyukur dan berterima kasih mereka pada Tuhan dan pihak-pihak penaja ini. Ingat, bukan kita seorang dua sahaja yang layak mendapat biasiswa, tetapi kita masih berdiri di sini sebagai pemegang salah satunya. Fikirkan. Jika pihak lain menghargai usaha kita dengan wang ringgit, kenapa tidak kita hargai biasiswa dari mereka yang menghargai kita? Biasiswa juga merupakan satu pelaburan jangka panjang yang mengikat kita secara virtual. Aku melihat keadaan ini sebagai suatu gambaran yang positif - berjaya meletakkan hidup kita di dalam situasi di mana kita takut untuk tidak fokus dalam pelajaran -- khuatir kalau-kalau keputusan peperiksaan tidak memuaskan pihak penaja dan perlu membayar semula perbelanjaan belajar sebelumnya. Aku akui perjanjian yang aku tandatangani dengan pihak penaja bunyinya mengerikan - seolah-olah hilang nyawa jika biasiswa disekat dan dihentikan. Tetapi itulah yang menjadi pendorong paling kuat untuk kita berada di atas laluan yang betul. Percayalah, tiada pihak yang melabur untuk sesuatu yang dijangka akan merugikan. Bermakna kita-kita ialah pelajar yang terpilih untuk melunaskan janji pihak-pihak ini untuk membangunkan negara. Istimewa sungguh kelebihan yang diberikan. Dan kita di pihak yang kedua, sepatutnya berusaha untuk tidak menghampakan mereka-mereka yang bergunung harapannya kepada kita, untuk menuntut ilmu selagi terdaya. Aku mahu mengakhiri artikel pendek yang kurang formal ini dengan sebukit sokongan dan segunung harapan kepada kumpulan-kumpulan penerima biasiswa tahun ini dan seterusnya - supaya tidak mensia-siakan erti penganugerahan biasiswa itu dalam hidup masing-masing. Peluang ini sebaiknya digunakan secara maksima untuk kita-kita menyinar dalam bidang pelajaran yang kita-kita mahukan. Bersyukur dan hargai semuanya dan aku doakan kita-kita semua akan menjadi yang terbaik selepas kamu semua selesai membaca artikel ini. 



No comments:

Post a Comment